Lelaki dipenjara selepas ‘gam’ pintu pusat vaksinasi – Utusan Digital

Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

LONDON: Seorang lelaki dikenakan hukuman penjara selama tiga bulan selepas didapati ‘menutup’ sebuah farmasi yang dijadikan pusat vaksinasi Covid-19, dengan menggunakan gam kuat pada pintu premis tersebut.

Tindakan individu yang dipercayai merupakan antivaksin itu mengakibatkan kira-kira 500 orang terlepas slot suntikan vaksin mereka.

Lapor Daily Mail, Hayden Brown, 53, dari Gorleston, Norfolk dihadapkan di Mahkamah Majistret Norwich dan mengaku bersalah melakukan jenayah kerosakan.

Ketika kejadian, Brown menuangkan gam kuat ke dalam lubang kunci premis itu sehingga menyekat pintu berkenaan.

Dia melakukan perbuatan itu di Pharmacy Express yang terletak di Lowestoft Road, Gorleston pada Jumaat lalu.

Sebelum ini, farmasi sama pernah menjadi sasaran kumpulan antivaksin pada 12 dan 20 November lalu.

Brown juga mengaku menyebabkan gangguan awam dengan menghalang seramai 504 golongan berisiko mendapatkan suntikan dos penggalak.

Dia juga mengaku bersalah atas pertuduhan kedua iaitu memiliki dadah Kelas B setelah sejumlah ganja ditemukan di rumahnya selepas ditahan.

Brown ditahan polis selepas dikesan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan kamera tersembunyi yang dipasang di pusat vaksinasi itu selepas dua kejadian sebelum ini.