am@hmetro.com.my
Bukit Mertajam: Polis menahan lima individu bagi membantu siasatan kematian lelaki di sebuah pondok di Cherok Tokun, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, pihaknya sebelum itu menerima laporan mengenai kejadian pada 3.22 petang, berhubung pergaduhan di pondok itu.
Katanya, lelaki berusia 63 tahun maut dipercayai dipukul dengan kayu sebelum ditikam dengan pisau.
“Siasatan awal mendapati mangsa bersama lima rakan sebelum itu (berkumpul) duduk bersembang di pondok berkenaan.
“Suspek warga emas berusia 70 tahun secara tiba-tiba datang dari arah belakang mangsa dan memukulnya dengan sebatang kayu sehingga menyebabkan mangsa rebah ke lantai.
“Dia (suspek) kemudian mengeluarkan sebilah pisau dan terus menikam mangsa sebelum beredar dari tempat kejadian. Pasukan perubatan yang tiba di lokasi mengesahkan kematian mangsa,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Menurutnya, suspek yang menghilangkan diri berjaya ditahan bersama empat lagi individu yang berada di lokasi ketika kejadian berlaku bagi membantu siasatan.
“Punca kejadian disebabkan perselisihan faham antara mangsa dan suspek yang dipercayai sejak tiga hari lalu,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd