am@hmetro.com.my
Mersing: Gara-gara tidak berpuas hati dengan bunyi ekzos motosikal yang kuat sehingga mengejutkan bayinya, seorang pemandu bertindak memukul penunggang motosikal di sebuah kedai serbaneka di Jalan Ismail, di sini, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani berkata, pihaknya menerima maklumat selepas video kejadian yang berdurasi satu minit 45 saat itu tular di media sosial.
“Kejadian kira-kira jam 1 pagi itu berlaku selepas suspek yang juga lelaki tempatan berang apabila mendakwa mangsa memotong kenderaannya dan membunyikan ekzos dengan kuat hingga menyebabkan bayi yang dipangku isterinya terjaga dan menangis.
“Suspek kemudian bertindak memukul mangsa yang juga lelaki tempatan. Akibat kejadian itu, mangsa mendapatkan rawatan di hospital dan disahkan mengalami kecederaan pada bahagian pipi kiri dan perut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Abdul Razak berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan sudah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Johor hari ini untuk tindakan selanjutnya.
“Suspek diarahkan untuk dituduh di Mahkamah Majistret Mersing esok. Jika sabit kesalahan, suspek boleh dihukum penjara sehingga satu tahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




