Jeli: Lelaki yang menetak seorang anggota polis menggunakan parang ketika operasi antidadah di Tanah Merah, semalam, direman empat hari bermula hari ini.
Perintah reman terhadap suspek berusia 30 tahun itu sehingga 21 Oktober ini, dikeluarkan Majistret Mahkamah Jeli, Tun Faez Fikhrie Tun Asrul Saini mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.
Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata suspek yang berasal dari Kampung Lalang Pepuyu, Tanah Merah, adalah penagih dadah.
Beliau berkata, sementara itu anggota polis berkenaan masih dirawat di Hospital Tanah Merah untuk pemerhatian.
Semalam, anggota polis berpangkat koperal parah selepas ditetak menggunakan parang oleh seorang lelaki yang disyaki pengedar dadah ketika Op Tapis Bersepadu Sempadan di Kampung Lalang Pepuyu.
Anggota itu cedera patah tangan kiri dalam kejadian pada jam 1.35 tengah hari.
Polis menyerbu kampung berkenaan susulan maklumat mengenai kegiatan penyeludupan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




