Lelaki ditahan anjur majlis pertunangan

Lelaki ditahan anjur majlis pertunangan

LABUAN: Polis menahan seorang lelaki berumur 47 tahun semalam, kerana dipercayai menganjurkan majlis pertunangan yang dihadiri lebih 20 orang di Kampung Baru Selamat, Ahad lalu.

Ketua Polis Labuan, Superintendan Ahmad Jawila berkata, lelaki itu ditahan pada jam 8.30 malam selepas polis menerima rakaman video berdurasi 14 saat mengenai majlis itu yang tular di media sosial.

“Berdasarkan maklumat awam, kami menahan lelaki itu kerana mengadakan majlis pertunangan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Lelaki itu boleh dipenjara hingga enam bulan atau denda atau kedua-duanya,” katanya kepada pemberita di Balai Polis Labuan di sini hari ini.

Ahmad berkata, lelaki terbabit disiasat kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) PKPB iaitu kesalahan mengikut Seksyen 260 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Sementara itu, beliau berkata polis Labuan merampas 16 motosikal selepas dikesan dengan pelbagai kesalahan termasuk mengubah suai ekzos, tiada insurans dan lesen dalam Op Samseng Jalanan pada Sabtu lalu.

“Kami turut mengeluarkan 55 saman atas pelbagai kesalahan dan menahan seorang lelaki berumur 20 tahun kerana menunggang motosikal dengan berbahaya dan membuat aksi ‘wheelie’, kes disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – BERNAMA

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top