Lelaki ditahan disyaki curi kabel berhampiran landasan kereta api

Lelaki ditahan disyaki curi kabel berhampiran landasan kereta api

mhafis@mediaprima.com.my

Kulai: Pasukan Polis Bantuan (PB) Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menahan seorang lelaki terbabit kes curi kabel di sektor Kempas Baru-Kulai, di sini, semalam.

KTMB berkata, berikutan laporan gangguan teknikal di jajaran Kempas Baru-Kulai pada jam 8.50 malam tadi, pasukan PB KTMB menjalankan rondaan serta pemeriksaan di KM 728.00-KM 728.25.

Menurutnya, pada jam 11.07 malam, anggota PB mengesan seorang suspek dipercayai memotong kabel berhampiran pagar kawasan landasan.

“Suspek cuba melarikan diri ke arah kawasan berhampiran sebuah stesen minyak, namun berjaya ditahan pada jam 11.47 malam hasil tindakan pantas dua anggota PB.

“Pemeriksaan lanjut menemui beberapa beg berisi alatan pemotong kabel yang dibuang di kawasan longkang berhampiran lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, semakan mendapati suspek mempunyai 28 rekod jenayah lampau.

“Suspek diserahkan kepada pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai untuk tindakan lanjut.

“Tindakan pantas dan cekap anggota PB berjaya menghalang sebarang gangguan terhadap keselamatan landasan, sekali gus memastikan kelancaran operasi tren berjalan lancar,” katanya.

Menurut KTMB, perbuatan menceroboh dan merosakkan harta benda kereta api adalah satu kesalahan serius mengikut Akta Keretapi 1991 (Akta 463) dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).

Ia memperuntukkan tindakan tegas termasuk denda, penjara atau kedua-duanya sekali terhadap pesalah yang disabitkan kesalahan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top