am@hmetro.com.my
Keningau: Lelaki ditahan polis disyaki melepaskan tembakan menggunakan senjata api buatan sendiri jenis bakakuk ke arah kereta dan rumah penduduk di Kampung Liposu Sook, semalam.
Dalam kejadian pada 2.30 petang, suspek berusia 30 tahun dipercayai bertindak menahan kenderaan pacuan empat roda dipandu rakannya sekampung, sebelum melepaskan satu das tembakan ke arah belakang kenderaan berkenaan.
Tembakan itu menyebabkan cermin pecah selain lapan kesan berlubang pada bahagian penutup bucket.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, kira-kira 10 minit sebelum insiden itu, suspek turut dikesan melepaskan satu das tembakan ke arah tiang rumah seorang lagi penduduk kampung.
Bagaimanapun, katanya, tiada kecederaan dilaporkan dalam kedua-dua kejadian berkenaan.
“Bertindak hasil laporan dibuat mangsa, polis berjaya menahan suspek di rumahnya di Kampung Liposu pada 6.30 pagi tadi.
“Turut dirampas, selaras senapang buatan sendiri jenis bakakuk, peluru hidup pelbagai jenama serta beberapa kelongsong,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, siasatan mendapati suspek dipercayai mabuk teruk selepas minum arak di rumah bapa saudaranya sebelum bertindak agresif dengan melepaskan tembakan secara rawak.
“Motif kejadian masih dalam siasatan dan perbuatan suspek melepaskan tembakan jelas mendatangkan kegusaran awam dan membahayakan keselamatan penduduk kampung,” katanya.
Yampil berkata, ujian air kencing mendapati suspek negatif dadah dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu kerana cubaan membunuh,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



