Bangkok: Polis menahan seorang lelaki berusia 50 tahun di Terminal Bas Mo Chit, semalam selepas dipercayai mereka cerita isterinya yang dikatakan hamil terperangkap di bawah bangunan Pejabat Audit Negara yang runtuh akibat gempa bumi.
Somnitch Duangnet sebelum ini mendakwa isterinya yang berusia 23 tahun, Korwipha Sonbubpha, yang hamil empat bulan dan bekerja sebagai kerani di tingkat empat.
Thethaiger melaporkan, dia mendakwa tidak dapat menghubungi isterinya kerana terperangkap di bawah runtuhan.
Bagaimanapun, pihak berkuasa mendapati cerita ini adalah palsu.
Selepas siasatan lanjut, wartawan menghubungi Korwipha, yang mengesahkan dia adalah pemilik sebenar kad identiti yang digunakan dalam tuntutan Somnitch.
Dia menjelaskan kad itu digunakan semasa bekerja di sebuah pusat beli-belah di kawasan Rama 9 pada 2019, dan memulangkannya selepas berhenti kerja.
Korwipha amat terkejut apabila mengetahui kad identitinya dipegang Somnitch, dan keliru bagaimana lelaki itu memperolehnya.
Keluarganya wanita itu juga terkejut dengan berita itu.
Korwipha kemudian membuat laporan di Balai Polis Bang Sue, dan menegaskan dia tidak mengenali lelaki itu.
Pegawai dari Balai Polis Bang Sue, bersama pasukan penyiasat Biro Polis Metropolitan, menahan Somnitch di Terminal Bas Mo Chit, semalam.
Dia kemudian dibawa ke Balai Polis Bang Sue untuk disoal siasat.
Mejar Jeneral Polis Noppasin Poolsawat, Timbalan Pesuruhjaya Biro Polis Metropolitan, secara peribadi menyoal siasat Somnitch, lapor KhaoSod.
Semalam, Jabatan Meteorologi Thailand (TMD) mengesahkan gegaran susulan kecil daripada gempa bumi di Myanmar tidak menimbulkan ancaman kepada Thailand.
Dalam kejadian jam 11.08 pagi itu, gegaran dirasai di beberapa bangunan tinggi di seluruh Bangkok, menyebabkan pemindahan sementara.
© New Straits Times Press (M) Bhd