am@hmetro.com.my
Bera: Polis memburu empat lelaki dipercayai terbabit kes tetak seorang lelaki di kedai makan di Triang di sini, Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Bera Superintendan Zulkiflee Nazir berkata, mangsa berusia 35 tahun dilapor parah dan menerima rawatan lanjut di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh.
Menurutnya, polis menerima laporan kejadian pada 12.46 tengah malam Isnin, dengan kejadian dipercayai berlaku pada 9.16 malam Ahad.
“Dalam kejadian itu, mangsa lelaki berbangsa India diserang sebelum ditetak menggunakan parang oleh empat suspek.
“Suspek dipercayai melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zulkiflee berkata, usaha mengesan suspek sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya menghubungi IPD Bera di talian 09-250 8222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
© New Straits Times Press (M) Bhd




