JAKARTA – Tindakan seorang lelaki menggali kubur ibu kandungnya sendiri selepas tersinggung dengan sindiran bapa saudaranya menggemparkan penduduk di kawasan Tempat Pemakaman Bukan Umum (TPBU) Sengkol, Kelurahan Muncul, Kecamatan Setu di Tangerang Selatan pada Sabtu lalu.
Lelaki dikenali sebagai Agus, 25, dipercayai bertindak demikian selepas berlaku pertengkaran keluarga di rumah bapa saudaranya yang telah menjaganya sejak kecil.
Menurut laporan, insiden bermula apabila Agus ditegur oleh isteri bapa saudaranya supaya menjaga kebersihan bilik tidurnya.
Namun, teguran itu mencetuskan kemarahan sehingga berlaku pertengkaran mulut sebelum bapa saudaranya mengeluarkan kata-kata sindiran meminta Agus keluar dari rumah dan ‘membawa sekali kubur ibu bapanya’.
Sindiran tersebut bagaimanapun dipercayai diambil serius oleh Agus yang kemudian terus menuju ke tanah perkuburan sejurus selepas waktu Maghrib sebelum menggali kubur ibunya sendiri.
Penduduk setempat bersama pengurusan jawatankuasa kampung, tokoh masyarakat setempat dan ustaz cuba memujuk lelaki terbabit supaya menghentikan tindakannya, namun usaha itu gagal kerana Agus berada dalam keadaan terlalu emosional.
Setiausaha Kelurahan Muncul, Muhammad Ali berkata, pihaknya turut cuba berbincang dengan Agus, namun lelaki itu enggan mendengar nasihat diberikan.
“Kami sudah cuba bercakap dengannya tetapi dia tidak mengendahkannya kerana emosinya sangat tinggi.
“Akhirnya ketua rumah tangga, tokoh masyarakat, ustaz dan pengurus tanah perkuburan bersetuju meninggalkannya,” katanya kepada wartawan pada Isnin.
Menurut beliau, penduduk dan petugas kemudian memutuskan bekalan elektrik di kawasan perkuburan sebagai usaha menghalang tindakan Agus, namun lelaki itu tetap meneruskan penggalian dalam keadaan gelap.
“Apabila kami kembali kira-kira setengah jam kemudian, dia sudah tiada di lokasi dan kami dapati kubur itu telah digali hampir 60 sentimeter,” katanya.
Muhammad Ali menjelaskan, kata-kata bapa saudara Agus sebenarnya hanya luahan rasa kecewa daripada individu yang telah membesarkannya sejak berusia empat tahun.
Bagaimanapun, keadaan tegang ketika pertengkaran menyebabkan Agus tersalah tafsir sindiran tersebut lalu bertindak di luar kawalan.
Kes berkenaan akhirnya diselesaikan secara damai menerusi proses mediasi melibatkan ketua kampung dan ahli jawatankuasa tempatan.
Kubur yang sempat digali sedalam kira-kira 60 sentimeter itu kini telah diperbaiki semula.- Agensi



