
Tangkap layar video tular pada Ahad
HONG KONG – Seorang lelaki berusia 22 tahun ditahan atas kesalahan memandu secara berbahaya selepas tular video memaparkan dia membenarkan seorang kanak-kanak duduk di atas riba sambil memegang stereng ketika kenderaan sedang bergerak di Tuen Mun, Heung Sze Wui.
Insiden yang mencetuskan kemarahan orang ramai itu dirakam dalam video berdurasi 35 saat dan menjadi tular pada Ahad.
Rakaman tersebut menunjukkan kanak-kanak lelaki itu duduk di atas riba pemandu dengan tangannya memegang stereng, seolah-olah mengawal kenderaan tersebut.
Kanak-kanak berkenaan juga dilihat tidak memakai tali pinggang keledar, manakala beberapa penumpang lain berada di tempat duduk belakang.
Polis memaklumkan pihaknya mengesan video tersebut dan segera melancarkan siasatan.
Susulan tindakan proaktif pihak berkuasa, lelaki berkenaan tampil menyerah diri di Balai Polis Tai Po pada pagi Isnin.
Dia ditahan kerana disyaki memandu secara berbahaya dan kini direman bagi membantu siasatan.
Menurut laporan, lelaki itu mendakwa kanak-kanak tersebut ialah anak saudaranya.
Ketika itu, dia sedang memujuk kanak-kanak tersebut dengan meletakkannya di atas riba dan membenarkannya memegang stereng kenderaan.
Bagaimanapun, lelaki tersebut telah dibebaskan dengan jaminan sementara menunggu siasatan lanjut oleh Bahagian Siasatan Trafik New Territories North.
Pihak polis memberi peringatan tegas bahawa kesalahan memandu secara berbahaya ialah satu kesalahan serius yang boleh dikenakan denda maksimum HK$25,000 (RM12,900) dan hukuman penjara sehingga tiga tahun.
Mereka juga menegaskan tindakan membenarkan kanak-kanak duduk di atas riba tanpa memakai tali pinggang keledar adalah amat berbahaya dan boleh mengakibatkan kecederaan serius sekiranya berlaku kemalangan.
Ringkasan AI
- Seorang lelaki berusia 22 tahun ditahan kerana membenarkan kanak-kanak duduk di atas riba sambil memegang stereng semasa memandu.
- Insiden ini mencetuskan kemarahan orang ramai dan menjadi tular selepas dirakam dalam video berdurasi 35 saat.
- Lelaki tersebut tampil menyerah diri di Balai Polis Tai Po dan ditahan atas kesalahan memandu secara berbahaya.
- Polis memberi amaran bahawa kesalahan memandu secara berbahaya boleh dikenakan denda maksimum HK$25,000 dan hukuman penjara sehingga tiga tahun.
- Tindakan membenarkan kanak-kanak duduk di atas riba tanpa tali pinggang keledar adalah berbahaya dan boleh mengakibatkan kecederaan serius dalam kemalangan.



