harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Individu disyaki mendera kucing dalam satu video tular di ibu negara, baru-baru ini ditahan di rumahnya, di sini, semalam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pihak mengesan video berdurasi sembilan saat yang dimuat naik seorang pengguna TikTok kira-kira 5.26 petang kelmarin selepas ianya tular.
“Bertindak di atas maklumat, sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields membuat tangkapan ke atas seorang lelaki tempatan berusia 43 tahun.
“Tangkapan dilakukan kira-kira 6.10 petang semalam di kediaman suspek,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, permohonan reman ke atas suspek akan dibuat hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau Hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222.
© New Straits Times Press (M) Bhd




