Lelaki hilang di Puchong ditemukan lemas di tasik di Sungai Long

Lelaki hilang di Puchong ditemukan lemas di tasik di Sungai Long

am@hmetro.com.my

Kajang: Seorang lelaki tempatan yang dilaporkan hilang di Puchong, Khamis lalu, ditemukan lemas Tasik Bukit Enggang, Sungai Long, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan insiden itu pada jam 7.30 pagi semalam.

“Seorang lelaki tempatan menemui mayat itu ketika dia sedang memancing di tasik berkenaan.

“Sepasukan anggota polis bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat telah hadir ke lokasi bagi membantu menaikkan mayat terapung di tengah tasik yang dianggarkan sejauh 3.048 meter dari tebing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Naazron berkata, hasil siasatan mendapati mangsa berusia 25 tahun itu sebelum ini dilaporkan hilang di Puchong, Khamis lalu.

“Kita turut menemui sebuah motosikal jenis Honda RS150 dan topi keledar berwarna hitam dipercayai milik mangsa.

“Mayat mangsa yang lengkap berpakaian itu telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Kajang untuk proses bedah siasat,” katanya.

Beliau berkata, proses bedah siasat selesai pada jam 12.30 tengah hari tadi dan setakat ini punca kematian adalah disebabkan lemas.

“Tiada sebarang kesan kecederaan fizikal yang boleh dikaitkan dengan unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR),” katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi Ketua Polis Balai Sungai Long, Sarjan Abang Faizul Abang Bujang di talian 012-9208851 atau mana-mana balai polis berhampiran.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top