
Detik-detik ketika lelaki itu diselamatkan.-Agensi
SERANG – Penduduk di Kecamatan Petir, Kabupaten Serang, gempar apabila seorang lelaki yang dilaporkan hilang selama tiga hari ditemukan di atas pokok beringin besar, berhampiran Pejabat Pentadbiran Kecamatan Petir, pada 23 Mac 2025.
Media tempatan melaporkan, kejadian yang dianggap aneh itu menjadi bualan hangat masyarakat, malah rakaman detik-detik lelaki itu diselamatkan tular di media sosial.
Lelaki tersebut yang dikenali sebagai Arif merupakan penjaga sebuah tempat permainan kanak-kanak di pasar malam sekitar kawasan tersebut.
Menurut Ketua Polis Kecamatan Petir, Inspektor Maulana Ritonga, mangsa pertama kali terlihat oleh rakannya yang kemudian melaporkan kepada pihak bomba dan penyelamat.
“Dia hilang ketika waktu Maghrib dan ditemukan di atas pokok pada pukul 8.20 malam (waktu tempatan).
“Penduduk setempat yang terkejut dengan kejadian ini segera berkumpul di bawah pokok menyaksikan usaha menyelamat menggunakan tangga,” katanya kepada wartawan pada Rabu.
Bagaimanapun, dakwaan Arif hilang selama tiga hari dinafikan oleh pihak berkuasa yang menegaskan bahawa lelaki tersebut hanya tidak dapat dikesan selama beberapa jam sebelum ditemui.
Arif ditemukan di atas pokok beringin, di celah-celah kayu dan daunnya yang rimbun sebelum penduduk membantu menurunkannya.
Sesetengahnya percaya bahawa Arif berada di bawah pengaruh alkohol ketika dia hilang.
“Katanya dia mabuk sebelum diculik wewe (makhluk halus mengikut kepercayaan masyarakat Indonesia),” menurut seorang penduduk, Biki.