Lelaki Indonesia guna MyKad palsu direman empat hari

Lelaki Indonesia guna MyKad palsu direman empat hari

MELAKA: Seorang lelaki warga Indonesia direman empat hari bagi membantu siasatan selepas ditahan memiliki dan menggunakan kad pengenalan Mykad dipercayai palsu.

Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Melaka, Norazle Sulaiman berkata, suspek berusia 48 tahun itu diberkas polis dalam keadaan mencurigakan ketika membeli sarapan di Bandar Alor Gajah dekat sini, sebelum diserahkan kepada pihaknya.

Beliau berkata, suspek memiliki MyKad dipercayai palsu atas nama seseorang beralamat di Kampung Asin-asin Tandek, Kota Marudu, Sabah.

“Selepas diberkas polis, suspek kemudiannya ditahan semula Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan (BSK) JPN Melaka pukul 10 pagi, Khamis lalu kerana disyaki menggunakan kad pengenalan palsu.

“”Semakan yang kita lakukan mendapati, nombor MyKad tertera tidak wujud sebelum dia ditahan polis bagi membantu siasatan lanjut mengikut Peraturan 25 (1) (e) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Tambah Norazle, JPN telah mendapatkan perintah reman selama empat hari sehingga esok untuk melengkapkan siasatan. – UTUSAN