Lelaki intai tandas wanita direman 4 hari

Lelaki intai tandas wanita direman 4 hari

am@hmetro.com.my

Bukit Mertajam: Lelaki yang ditahan polis selepas dipercayai mengintai di tandas wanita sebuah stesen minyak di Seberang Jaya, dekat sini, direman selama empat hari bagi siasatan lanjut.

Perintah reman bermula hari ini hingga 3 Jun dikeluarkan Majistret Norhidayati Mohammad Nasroh.

Terdahulu, suspek berusia 26 tahun yang berpakaian lokap tiba di Mahkamah Majistret, di sini, dengan diiringi polis bagi mendapatkan proses tahanan reman.

Media semalam melaporkan polis menahan seorang lelaki selepas perbuatan tidak senonohnya memasuki dan mengintai ke dalam tandas wanita di sebuah stesen minyak tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris dilaporkan berkata, pihaknya terkesan sebuah video yang dimuatnaik melalui laman sosial X berdurasi 27 saat memaparkan seorang lelaki memasuki dan mengintai di tandas wanita.

Menurutnya, siasatan mendapati kejadian berlaku pada 5 Mei lalu kira-kira jam 6.21 pagi.

“Kertas siasatan bagi kes ini dibuka mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top