am@hmetro.com.my
Seberang Jaya: Seorang lelaki yang tabah menjaga isteri menghidap strok dan ibu mentua yang mengalami masalah saraf bersyukur apabila menerima sumbangan daripada Zakat Pulau Pinang untuk meringankan bebannya.
Amran Abdullah, 50, dari Tasek Gelugor, di sini, berkata dia terpaksa berhenti kerja kerana isterinya Saadiah Alias, 48, dan ibu mentua berusia 81 tahun memerlukan perhatian dan jagaan rapi.
Menurutnya, isterinya diuji menghidap strok sejak dua tahun lalu sehingga menyebabkan badannya separuh lumpuh dan tidak dapat berjalan, manakala ibu mentuanya pula terlantar akibat penyakit saraf.
“Disebabkan isteri dan ibu mentua memerlukan jagaan rapi, saya tidak dapat bekerja dan menyara kehidupan dengan bantuan wang zakat sebanyak RM450 yang diterima setiap bulan.
“Apabila dapat sumbangan ini, sedikit sebanyak melegakan beban kewangan dan dapat digunakan untuk menampung keperluan keluarga sepanjang Ramadan,” katanya yang tidak mempunyai anak.
Amran dan isterinya ditemui selepas menerima sumbangan Skim Nur Ramadan yang disampaikan Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid di Masjid Seberang Jaya, di sini, semalam.
Program berkenaan menyaksikan seramai 3,937 asnaf menerima wang tunai RM700 manakala 15,000 lagi penerima masing-masing menerima bantuan hamper berupa barangan keperluan harian bernilai RM100.
Sementara itu, Mohamad merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) berkata, hampir RM4.25 juta diagihkan bagi membantu mereka yang memerlukan menerusi Skim Nur Ramadan.
Menurutnya, objektif pelaksanaan skim berkenaan bagi meringankan beban golongan asnaf sekali gus memberikan kegembiraan kepada mereka untuk menyambut Ramadan pada setiap tahun.
© New Straits Times Press (M) Bhd