Putrajaya: Mahkamah Rayuan di sini hari ini mengekalkan hukuman penjara 10 tahun dan dua sebatan terhadap seorang lelaki berusia 31 tahun kerana meliwat seorang remaja pada 2020.
Panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Datuk Azman Abdullah bersama Datuk Noorin Badaruddin dan Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid menolak rayuan C. Logenthiran terhadap sabitan dan hukuman yang dijatuhkan ke atasnya.
Logenthiran yang diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, M. Kartan, sebelum ini memohon supaya kesnya dikembalikan ke Mahkamah Sesyen untuk perbicaraan semula dengan alasan anak guamnya telah membuat pengakuan bersyarat.
Bagaimanapun, dalam penghakiman sebulat suara, Azman berkata rekod mahkamah menunjukkan tiada pengakuan bersyarat dibuat oleh Logenthiran, bekas pekerja kuil, sebelum hukuman dijatuhkan di Mahkamah Sesyen.
Beliau berkata pengakuan bersalah oleh pihak perayu tidak cacat kerana ia dilakukan dengan pengetahuan penuh serta pengakuannya terhadap fakta kes yang selaras dengan pertuduhan.
Azman turut menegaskan bahawa Logenthiran telah diwakili peguam semasa prosiding di Mahkamah Sesyen.
Pada 2024, Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan dua sebatan terhadap Logenthiran selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii terhadap mangsa yang ketika itu berusia 15 tahun di sebuah kuil di daerah Hulu Perak, Perak.
Beliau juga diarahkan menjalani kaunseling semasa berada di penjara dan diletakkan di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas tamat menjalani hukuman penjara.
Menurut kertas pertuduhan, kesalahan itu berlaku antara 12.30 tengah malam hingga 2 pagi pada Februari 2020.
Pada 2025, Mahkamah Tinggi menolak rayuan Logenthiran dan mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen.
Hari ini, peguam Kartan memberitahu Mahkamah Rayuan bahawa Mahkamah Sesyen sepatutnya menghantar kes itu dibicarakan kerana anak guamnya membuat pengakuan bersyarat melalui rundingan tidak formal dengan pihak pendakwaan.
Beliau berkata anak guamnya adalah individu transgender dan telah menjalani beberapa prosedur untuk menjadi wanita.
Timbalan Pendakwa Raya, Hafizah Johor Johor, berkata pertuduhan telah dibaca dan diterangkan kepada perayu dan beliau mengaku memahami pertuduhan tersebut dan tidak menimbulkan sebarang isu mengenai pengakuan bersalah bersyarat atau rundingan tidak formal itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




