am@hmetro.com.my
Sungai Petani: Lelaki ditahan polis kerana disyaki melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, kejadian 9 malam 29 September lalu, ketika mangsa bersama tiga rakannya berada di Ramlee Bukit Bintang.
Beliau berkata, suspek kemudian datang dengan menaiki motosikal dan ‘mengumpan’ mangsa dengan memberitahu hendak memberi basikal secara percuma kepadanya.
“Mangsa kemudian pergi mengikut suspek ke sebuah rumah di sini dan kembali semula ke Bukit Bintang Ramlee bersama sebuah basikal.
“Selepas itu, suspek memberitahu dia hendak memberi sebuah lagi basikal lain menyebabkan mangsa tertarik untuk mengikutnya.
“Bagaimanapun, kanak-kanak lelaki itu kemudian dibawa ke kawasan hutan di Kampung Serukam dan ketika itu suspek melakukan perkara itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hanyan berkata, mangsa adalah anak ketiga daripada empat beradik.
Beliau berkata, suspek berusia 46 tahun yang juga pekerja kilang itu ditahan 9 malam tadi untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTKK) 2017.
“Hasil siasatan mendapati, suspek tidak mempunyai rekod jenayah sebelum ini.
“Permohonan reman terhadap suspek akan dilakukan hari ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




