Lelaki lari dari operasi polis ditemukan lemas

Lelaki lari dari operasi polis ditemukan lemas

am@hmetro.com.my

Besut: Lelaki yang dipercayai terjun ke dalam sungai di Kuala Besut, di sini, selepas panik dengan kehadiran polis yang melakukan serbuan Ops Tapis ditemukan lemas pagi tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Md Sani Md Saleh berkata, mangsa berusia 45 tahun ditemukan lemas kira-kira 80 meter dari lokasi kejadian.

Katanya, kejadian dipercayai berlaku ketika Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut membuat Ops Tapis di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Seberang Kastam, Kuala Besut kira jam 7.45 malam semalam.

“Mangsa menyedari kehadiran polis lalu bertindak melarikan.

“Lelaki itu kemudiannya terjun ke dalam sungai. Susulan kejadian itu orang awam yang berada di lokasi kejadian cuba memberi bantuan tetapi tidak berjaya dan mangsa dipercayai lemas,” katanya.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat dilakukan bersama Jabatan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Besut dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) jam 8.30 malam.

“Operasi dihentikan kira-kira jam 11 malam atas faktor keselamatan.

“Operasi diteruskan semula pada jam 8 pagi dengan disertai beberapa anggota serta pegawai polis, APMM, JBPM dan APM.

“Mayat dijumpai pada jarak lebih kurang 80 meter dari lokasi mangsa terjun dan dinaikkan di Jeti Taman Laut Besut jam 10.25 pagi,” katanya.

Katanya, mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Besut untuk proses bedah siasat serta pengecaman oleh ahli keluarga.

Katanya, mangsa mempunyai 10 rekod lampau berkaitan dengan kes dadah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top