hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Kajang: Lelaki yang meletakkan kakinya di atas jalan ketika lori sedang bergerak di kawasan lampu isyarat berhampiran Jalan Pekan Bangi Lama, di sini, semalam disyaki berada dalam keadaan khayal akibat dadah.
Insiden itu dipercayai berlaku pada 10.45 pagi turut tular selepas rakaman videi dimuat naik di media sosial.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, lelaki terbabit yang berusia 43 tahun bagaimanapun tidak cedera.
Katanya, pemandu lori iaitu lelaki berusia 33 tahun membuat laporan kejadian pada 4.48 petang hari sama, mendakwa lelaki tidak dikenali berada di tengah jalan dan meletakkan kaki di bahagian tayar belakang sebelah kanan kenderaannya.
“Ketika itu pengadu melalui kawasan lampu isyarat yang berhampiran Jalan Pekan Bangi Lama. Apabila pengadu turun untuk membuat pemeriksaan, dia mendapati lelaki yang tidak dikenali itu sudah berada di tepi jalan bersama motosikalnya dan dipercayai dalam keadaan khayal.
“Dalam kejadian ini pengadu memaklumkan rakaman video kamera papan pemuka (dashcam) disimpannya sebagai bukti kejadian terbabit jika suspek mendakwa dirinya sengaja dilanggar,” katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.
Beliau berkata, suspek kini berada di hospital untuk rawatan lanjut yang mana dia dipercayai masih di bawah pengaruh dadah, namun tiada kecederaan akibat perbuatan terbabit.
“Hasil semakan lanjut mendapati suspek mempunyai 19 rekod kesalahan dadah dan dua kes jenayah lampau. Tangkapan akan dilakukan apabila prosedur rawatan terhadapnya selesai.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan, jika disabitkan kesalahan boleh dihukum tiga bulan penjara atau denda sehingga RM500 atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Naazron meminta orang ramai yang mempunyai maklumat untuk menghubungi balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat kes, Inspektor Muhammad Nazirulzahin Mohd Hashim di talian 017-8881475.
© New Straits Times Press (M) Bhd