MUAR: Tindakan seorang pemotong kelapa sawit memukul kakak iparnya menggunakan tukul besi sehingga cedera kerana berang ditegur mabuk, lima tahun lalu terbalas apabila dia dijel sehari dan denda RM4,500 oleh Mahkamah Majistret, di sini hari ini.
Majistret Fatin Dalilah Khalid menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, P. Parthivan, 43, selepas dia mengaku bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibaca jurubahasa mahkamah.
Mahkamah turut memerintahkan dia dipenjara 11 bulan jika gagal membayar denda tersebut.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Parthivan yang masih bujang didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap kakak iparnya, P. Avachee, 57, sehingga mengalami kecederaan parah di sebuah rumah di Lorong Dato’ Ahmad, di sini pada pukul 9 malam, 2 Disember 2019.
Dia didakwa di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Arif Marzuki, manakala tertuduh diwakili Tan Xin Ran daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.
Terdahulu, pihak pendakwaan memohon mahkamah menjatuhi hukuman setimpal dengan mengambil kira keganasan dilakukan tertuduh yang menyebabkan mangsa cedera.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh dilaporkan bertandang ke rumah mangsa sebelum berlaku perselisihan.
Mangsa yang dalam keadaan parah ketika itu menghubungi ahli keluarga bagi mendapatkan pertolongan sebelum dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah, di sini, untuk rawatan. – UTUSAN




