Lelaki maut, 2 budak cedera SUV terlanggar objek

Lelaki maut, 2 budak cedera SUV terlanggar objek

am@hmetro.com.my

Kuantan: Lelaki maut manakala dua kanak-kanak cedera dalam kemalangan di Kilometer 20 Jalan Pekan-Batu Balik, Pekan, hari ini.

Ketua Polis Daerah Pekan Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata mangsa, Mohd Rizan Saari, 35 yang bekerja sebagai pemandu lori meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, berdasarkan laporan, kemalangan itu membabitkan kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X50 dinaiki tiga beranak dan sebuah motosikal Honda RS150R jam 1 tengah hari.

“Siasatan awal mendapati SUV yang dipandu wanita berusia 36 tahun dan dua anaknya berusia empat serta lapan tahun dari arah Batu Balik menghala ke bandar Pekan manakala motosikal yang ditunggang mangsa pula dari arah bandar Pekan menghala ke Batu Balik.

“Apabila tiba di tempat kejadian, pemandu SUV dipercayai melanggar objek tidak pasti yang berada di atas jalan raya dan hilang kawalan lalu melanggar motosikal yang berada di laluan bertentangan.

“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal meninggal dunia di tempat kejadian.

“Kanak-kanak lelaki dan perempuan pula itu mengalami kecederaan ringan manakala ibunya tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top