Lelaki maut, 3 cedera kereta terbabas

Lelaki maut, 3 cedera kereta terbabas

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Seorang maut, manakala tiga lagi cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabas ke dalam curam sedalam dua meter di hadapan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Bukit Darah, di sini, semalam.

Semua mangsa adalah warga Indonesia yang menaiki kereta jenis Proton Persona.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 9.02 pagi.

Beliau berkata, sepasukan tujuh anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Menurut laporan awal, terdapat empat mangsa di dalam kereta itu. Pemandu lelaki berusia 45 tahun meninggal dunia dan dibawa keluar oleh rakannya.

“Manakala tiga lagi penumpang iaitu wanita berumur 21 tahun serta dua lelaki masing-masing 27 dan 31 tahun hanya cedera,” katanya ketika dihubungi.

Ahmad Mukhlis berkata, anggota bertugas kemudian melakukan pemeriksaan ke atas mangsa yang terselamat sebelum diserahkan kepada pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM).

Menurutnya, mayat pemandu pula diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top