Lelaki maut dibunuh rakan kerana telefon bimbit

Lelaki maut dibunuh rakan kerana telefon bimbit

am@hmetro.com.my

Melaka: Pertelingkahan mengenai telefon bimbit membawa kepada kematian lelaki yang dipercayai ditikam rakan dengan senjata tajam di beranda sebuah rumah di Kampung Sungai Udang di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, dalam kejadian 8.30 malam itu, mangsa berusia 25 tahun maut selepas dipercayai ditikam beberapa kali oleh suspek berusia 44 tahun.

Menurutnya, mangsa ditemui dengan kecederaan sekurang-kurangnya tiga kesan tikaman di bahagian kiri dada.

“Siasatan awal mendapati suspek sebelum ini mendakwa ada memberikan telefon bimbit kepada mangsa minggu lalu, sebelum datang berjumpa mangsa (hari ini) untuk mengambil semula barang miliknya.

“Bagaimanapun, pertemuan tersebut bertukar menjadi pergaduhan sebelum mangsa diserang dipercayai menggunakan parang,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

Christopher berkata, suspek yang panik selepas kejadian, cuba melarikan diri tetapi sempat abang mangsa sejauh kira-kira 300 meter hingga ke kawasan berhampiran rumah kedai pekan Sungai Udang.

Katanya, suspek dipercayai menceroboh masuk kereta milik orang awam untuk bersembunyi tetapi berjaya ditahan.

“Siasatan turut mendapati kedua-dua suspek dan mangsa mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial gambar mangsa dalam keadaan terlentang selepas dipercayai ditikam suspek, selain video yang menunjukkan suspek ditahan orang awam setelah menceroboh kereta.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top