Lelaki maut dibunuh, suami isteri ditahan bantu siasatan

Lelaki maut dibunuh, suami isteri ditahan bantu siasatan

am@hmetro.com.my

Lahad Datu: Lelaki warga asing ditemui maut dipercayai dibunuh di sebuah rumah tidak bernombor di kawasan kebun kelapa sawit, Ulu Segangan, Silabukan, di sini, hari ini.

Mangsa berusia 23 tahun ditemui dengan kesan luka di belakang badannya dipercayai akibat senjata tajam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintendan Jimmy Panyau berkata, bertindak atas maklumat, pasukan Bahagian Siasatan Jenayah dikerah ke lokasi dan menahan seorang lelaki dan wanita masing-masing berusia 29 tahun.

“Kedua-dua suspek dipercayai suami isteri ditahan pada hari yang sama bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, bedah siasat ke atas mayat mangsa akan dijalankan di Hospital Lahad Datu dan siasatan masih dijalankan termasuk mengenal pasti motif pembunuhan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top