Lelaki maut dihempap jengkaut

Batu Pahat: Seorang lelaki maut dihempap jengkaut (backhoe) di Jalan Simpang Lima, Seri Sulong dekat sini, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor dalam kenyataannya berkata, pihaknya menerima laporan pada 2.06 petang mengenai jengkaut terbalik menyebabkan pemandunya tersepit dan dihempap kenderaan itu.

Katanya, mangsa, Mohd Saiful Naim Imam, 32, yang tersepit di bawah jengkaut berkenaan berjaya dikeluarkan mengguna peralatan khas oleh bomba.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya, hari ini.

Katanya, seramai tujuh anggota bersama jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Pahat dihantar ke tempat kejadian.

“Operasi menyelamat ditamatkan pada 3.15 petang,” katanya.