
Mangsa, Mohi Uddin, 32, dilaporkan berada di kawasan pintasan Bagmara Dudh Bazar berhampiran Pasar Bagmara ketika kejadian berlaku. Sumber gambar daripada The Sun US.
CUMILLA – Keterujaan merakam gambar kenangan bertukar tragedi apabila seorang pemandu tuk-tuk maut selepas dirempuh sebuah kereta appi di landasan Dhaka-Chittagong pada pagi Ahad.
Mangsa yang dikenali sebagai Mohi Uddin, 32, dilaporkan berada di kawasan pintasan Bagmara Dudh Bazar berhampiran Pasar Bagmara ketika kejadian berlaku.
Menurut laporan media antarabangsa, saksi mendakwa mangsa ketika itu sedang berdiri di atas landasan kereta api semata-mata untuk mengambil swafoto.
Gambar tersebut juga dilaporkan sempat dimuat naik ke akaun Facebook miliknya sebelum kejadian.
Bagaimanapun, terdapat dakwaan berbeza daripada sumber media lain yang menyatakan mangsa didakwa sedang leka berbual di telefon bimbit dalam jarak yang terlalu dekat dengan landasan.
Pihak polis mengesahkan bahawa mangsa maut di tempat kejadian kira-kira jam 7.30 pagi akibat impak rempuhan yang kuat sebelum sempat menyelamatkan diri.
”Punca utama kemalangan dipercayai akibat kecuaian mangsa sendiri.
“Kami sedang melengkapkan prosedur undang-undang dan proses bedah siasat sebelum menyerahkan jenazah kepada pihak keluarga,” kata wakil pihak polis.



