Lelaki maut ditetak manakala tangan adik perempuan hampir putus

Lelaki maut ditetak manakala tangan adik perempuan hampir putus

am@hmetro.com.my

Sungai Petani: Seorang lelaki ditemui mati dengan kesan tetakan manakala tangan adik perempuannya hampir putus dalam kejadian di hadapan rumah mereka di Taman Kempas, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, kejadian dipercayai berlaku antara jam 12 tengah malam hingga 2 pagi tadi.

Beliau berkata, mangsa berusia 20-an ditemui berlumuran darah dan dipercayai mati di tempat kejadian.

“Mangsa dipercayai ditetak berulang kali sebelum meninggal dunia menggunakan senjata tajam.

“Kita turut menemui beberapa senjata dan dirampas untuk siasatan lanjut, ” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hanyan berkata, setakat ini pihaknya masih menyiasat motif sebenar kejadian itu berlaku.

Beliau berkata, adik perempuan mangsa yang ada di tempat kejadian turut cedera dan kini dirawat di wad kecemasan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).

“Setakat ini motif serangan masih dalam siasatan namun kejadian itu bukan disebabkan mabuk.

“Setakat ini kita masih siasat hubungan mangsa dengan penyerang. Suspek juga dikatakan tinggal di kawasan perumahan sama dengan mangsa.

“Susulan itu, polis menahan tiga suspek iaitu dua lelaki dan seorang wanita untuk membantu siasatan,” katanya.

Hanyan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, ketiga-tiga suspek dibawa ke mahkamah pagi ini untuk mendapat permohonan reman bagi membolehkan siasatan dilakukan.

“Mayat dihantar ke Jabatan Forensik HSAH untuk tindakan lanjut, ” katanya

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top