
Mangsa ditikam berkali-kali hingga meninggal dunia di lokasi kejadian. Foto hiasan
GORONTALO – Seorang lelaki berusia 22 tahun maut selepas ditikam akibat didakwa mengajak isteri orang berjumpa melalui aplikasi WhatsApp.
Mangsa dikenali sebagai RL, berasal dari Kelurahan Siendeng, Kecamatan Hulonthalangi, Kota Gorontalo, ditikam sehingga mati oleh suspek berusia 21 tahun dikenali sebagai BPE.
Ketua Polis Telaga, Iptu Fredy Yasin berkata, siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada rasa cemburu suspek selepas menemui perbualan WhatsApp antara isterinya dengan mangsa.
“Kejadian ini bermotifkan cemburu. Suspek menggunakan akaun WhatsApp isterinya untuk memerangkap mangsa dengan berpura-pura bersetuju untuk bertemu,” katanya dipetik media tempatan pada Ahad.
Insiden berdarah itu berlaku di Jalan Raja Wadipalapa, Desa Lauwonu, Kecamatan Tilango, Kabupaten Gorontalo, pada Rabu lalu sekitar jam 8.30 malam waktu tempatan.
Menurut Fredy, sebelum pertemuan itu, suspek sempat singgah di rumah ibu saudaranya untuk mengambil sebilah senjata tajam. Dia kemudian menghantar pin lokasi kepada RL sebelum menunggu di lokasi ditetapkan.
“Sebaik sahaja mangsa tiba, suspek terus menikamnya lima kali – dua tikaman di bahagian perut, satu di tulang rusuk, satu di belakang badan dan satu lagi di paha,” jelasnya.
Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah. Suspek kemudiannya menyerah diri di Balai Polis Telaga bersama senjata tajam sepanjang 40 sentimeter yang digunakan dalam serangan itu.
“Selepas melakukan perbuatan tersebut, suspek menyerah diri. Dia kini ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 340 Kanun Keseksaan dengan hukuman maksimum penjara 20 tahun,” kata Fredy.