am@hmetro.com.my
Lahad Datu: Kemalangan di Jalan Pantai di sini, awal pagi tadi mengorbankan seorang lelaki berusia 52 tahun, manakala empat lagi parah dalam kemalangan membabitkan kereta Perodua Viva dan pacuan empat roda.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 3.30 pagi sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi kejadian.
“Lima mangsa di dalam kereta berkenaan dan seorang daripadanya tersepit. Bomba berjaya mengeluarkan mangsa yang tersepit, namun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,
“Empat lagi mangsa yang cedera dihantar ke hospital, manakala mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.
Katanya, operasi ditamatkan sepenuhnya pada 4.51 pagi.
© New Straits Times Press (M) Bhd



