Lelaki maut jatuh bangunan, hempap kenderaan

Lelaki maut jatuh bangunan, hempap kenderaan

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki maut akibat terjatuh dari bangunan dan menghempap cermin belakang sebuah kenderaan di parkir Apartment Plaza Indah P6, Taman Sepakat Indah, Kajang baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan daripada MERS 999 berhubung kejadian itu pada 4.15 petang Sabtu lalu.

“Sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang telah hadir ke lokasi kejadian menemui seorang mayat lelaki warga tempatan dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah di bahagian kepala.

“Semakan mendapati kejadian terbabit berlaku sekitar jam 3.45 petang dan pegawai perubatan bersama ambulans dari Hopsital Kajang mengesahkan manga telah mati kira-kira 4.50 petang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Zaid, hasil siasatan awal daripada pasukan Forensik yang tiba di lokasi terbabit mendapati tiada sebarang unsur jenayah.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Kajang bagi tujuan bedah siasat dan hasilnya mendapati, mangsa maut akibat parah di kepala disebabkan terjatuh dari bangunan tinggi dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” jelasnya.

Susulan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi mana-mana balai polis berdekatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Sayed Saiful Rizal Sayed Baharom di talian 012-311 0855 bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette

Scroll to Top