bhnews@bh.com.my
Kuala Lumpur: “Suami saya sebenarnya dah balik awal, tapi disebabkan susu anak tertinggal di tempat kerja, dia patah balik ambil susu itu,” luah wanita yang kehilangan suami selepas lelaki itu maut dalam kemalangan di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) arah Kepong ke Batu Caves, malam tadi.
Dalam perkongsian di aplikasi Threads, wanita itu berkata suaminya sebelum kejadian meminta supaya dia memasak sotong goreng kunyit untuk makan malam, namun tidak sempat menjamahnya kerana terbabit dalam nahas semasa pulang dari tempat kerja.
“Rupanya suami saya tak makan sebab dia syahid waktu balik kerja. Suami saya sebenarnya dah balik awal, disebabkan susu anak tertinggal kat tempat kerja, jadi patah balik ambil susu anak,” katanya.
Katanya, suaminya meninggal dunia di lokasi kejadian dengan wajah tenang seolah-olah sedang tidur, malah barang dan pakaiannya turut dipenuhi tumpahan susu anak.
“Sedekahkan Al-Fatihah buat suami saya tau. Suami saya meninggal di tempat kejadian. Muka dan barang suami penuh dengan tumpahan susu anak. Alhamdulillah suami saya kemalangan, tapi keadaannya sempurna seperti tidur,” katanya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa, kemalangan berlaku kira-kira jam 8.20 malam membabitkan motosikal jenis Honda RS150 dan lori jenis Nissan Tipper.
“Lori berkenaan berhenti di bahu kiri jalan kerana mengalami masalah mekanikal sebelum motosikal mangsa dipercayai melanggar besi gandar di bahagian belakang kenderaan itu.
“Penunggang motosikal, seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian badan. Pemandu lori berusia 39 tahun tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambahnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk tindakan lanjut,
Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu dengan cuai atau berbahaya.
“Polis menasihati semua pengguna jalan raya supaya memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan serta mengelak berhenti di laluan yang boleh membahayakan pengguna lain.
“Saksi yang melihat kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Inspektor Muhammad Razif Jamaluddin di talian 019-4482852 atau Balai Polis Trafik Kuala Lumpur di 03-2071 9999,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd

