am@hmetro.com.my
Lipis: Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya bertembung dengan treler dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 30, Jalan Lipis–Merapoh, Kampung Seberang Jelai, Padang Tengku, di sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Lipis Superintendan Ismail Man berkata, kemalangan berlaku kira-kira 3 pagi yang membabitkan treler serta tiga kereta.
Katanya, mangsa yang maut dikenali sebagai Mohd Hafiz Mohd Ghazali, 34 tahun, yang juga pemandu salah sebuah kereta yang bertembung secara berhadapan dengan treler berkenaan.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Siasatan awal mendapati treler terbabit dipandu oleh seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun dari Kelantan dan dalam perjalanan menghantar muatan kayu ke Selangor.
“Tiga kereta yang terbabit difahamkan datang dari arah Kuala Lumpur menuju ke Kelantan. Salah satu daripada kereta terbabit dipercayai hilang kawalan sebelum bertembung dengan treler sebelum bergesel pula dengan dua kereta lain,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.
Katanya, polis masih menjalankan siasatan terperinci dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
© New Straits Times Press (M) Bhd