am@hmetro.com.my
Alor Gajah: Lelaki berusia 22 tahun maut selepas kereta Proton Satria dipandunya terbabas di Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Alor Gajah (SPA), berhampiran Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN), awal pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, mangsa dikatakan dalam perjalanan menuju ke Gangsa sebelum dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar berkata, siasatan awal mendapati kereta mangsa memasuki kawasan semak selepas dia gagal mengawal kenderaan.
“Akibat kemalangan itu, mangsa parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian.
“Saksi bebas yang melihat kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nurul Salina di talian 011-25435507 atau melapor di mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
Terdahulu, satu klip video berdurasi 10 saat dari kamera papan pemuka kenderaan tular di media sosial dan dikaitkan dengan insiden itu.
Rakaman berkenaan memaparkan beberapa kenderaan dipandu laju di lorong kanan sebelum kereta mangsa dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan.
© New Straits Times Press (M) Bhd



