Rom: Lelaki maut selepas disedut ke dalam enjin pesawat yang bersiap untuk berlepas di Lapangan Terbang Bergamo di utara Itali, pada Selasa,
Mangsa, yang “bukan penumpang mahupun pekerja lapangan terbang”, masuk ke landasan, di mana dia “dikejar” oleh anggota keselamatan lapangan terbang, menurut jurucakap syarikat pengurusan lapangan terbang, SACBO.
Menurut harian Itali, Corriere della Sera, lelaki itu adalah seorang warga Itali berusia 35 tahun.
Ia berkata, lelaki itu menceroboh masuk ke lapangan terbang, kemudian menggunakan pintu keluar kecemasan untuk bergegas ke landasan dan menuju pesawat yang bersiap untuk berlepas.
Terdahulu pada hari itu, syarikat penerbangan Sepanyol Volotea menulis di media sosial bahawa penerbangannya dari Bergamo ke Asturias di Sepanyol terbabit dalam “insiden” pada 10:35 pagi.
“Seorang yang tidak berada di dalam kapal dan tidak berkaitan dengan syarikat, parah. Kesemua 154 penumpang dan enam anak kapal selamat,” katanya di X.
“Kami melakukan segala yang mungkin untuk menyokong penumpang dan anak kapal yang terjejas, memberikan mereka sokongan psikologi, sambil bekerja dalam penyelarasan rapat dengan pihak berkuasa Itali.”
Pesawat itu adalah Airbus A319, menurut laman web penjejakan Flightradar24.
Penerbangan digantung di Lapangan Terbang Bergamo, yang ketiga terbesar di Itali mengikut jumlah penumpang, berikutan insiden itu, tetapi disambung semula pada tengah hari, menurut SACBO.
© New Straits Times Press (M) Bhd