Lelaki maut selepas potong kemaluan sendiri

Lelaki maut selepas potong kemaluan sendiri
Lelaki maut selepas potong kemaluan sendiri

Seorang saksi mendakwa lelaki itu dilihat menanggalkan pakaiannya dan berjalan ke arah sebuah kedai serbaneka sebelum rebah. Foto hiasan

LOS ANGELES – Seorang lelaki dilaporkan meninggal dunia selepas dipercayai memotong kemaluannya sendiri dalam satu kejadian mengejutkan di pusat bandar Los Angeles, Amerika Syarikat.

Menurut laporan media termasuk TMZ dan New York Post, lelaki yang dipercayai berusia sekitar lingkungan 40-an itu didakwa mencederakan dirinya sendiri pada awal pagi Sabtu.

Insiden berkenaan berlaku berhampiran Los Angeles Convention Center, di persimpangan Figueroa Street dan Pico Boulevard.

Pihak Jabatan Polis Los Angeles (LAPD) memaklumkan mereka menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 3.40 pagi waktu tempatan mengenai seorang lelaki yang bertindak ‘diluar kawalan’.

Apabila anggota polis tiba di lokasi, mereka menemui lelaki tersebut sebelum pasukan kecemasan mengesahkan kematiannya di tempat kejadian.

Seorang jurugambar daripada perkhidmatan berita OnSceneTV yang berada di lokasi mendakwa lelaki itu meninggal dunia akibat kehilangan darah yang banyak, namun perkara itu masih belum disahkan secara rasmi oleh pihak polis.

Rakaman dan gambar dari lokasi kejadian yang tular di media sosial menunjukkan sebuah khemah putih didirikan di atas laluan pejalan kaki yang dipenuhi kesan darah, selain pakaian mangsa yang ditemui bertaburan berhampiran lokasi.

Seorang saksi mendakwa lelaki itu dilihat menanggalkan pakaiannya dan berjalan ke arah sebuah kedai serbaneka 7-Eleven sebelum rebah.

Setakat ini, pihak berkuasa belum dapat mengesahkan motif tindakan lelaki tersebut, sama ada dia berada di bawah pengaruh dadah atau mengalami masalah lain ketika kejadian.

Identiti mangsa juga masih belum didedahkan, manakala Pejabat Pemeriksa Perubatan Daerah Los Angeles akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kematian. – Agensi

Ringkasan AI

  • Lelaki meninggal selepas dipercayai memotong kemaluan sendiri di pusat bandar Los Angeles
  • Insiden berlaku berhampiran Los Angeles Convention Center
  • Polis menerima panggilan kecemasan tentang lelaki ‘diluar kawalan’
  • Kejadian disaksikan oleh jurugambar OnSceneTV dan tular di media sosial
  • Pihak berkuasa belum mengesahkan motif atau identiti mangsa
Scroll to Top