am@hmetro.com.my
Seremban: Lelaki maut dalam kejadian tangki lori meletup di sebuah bengkel dekat Batu 6 Kuala Sawah, Kampung Belangkan, Rantau, di sini, hari ini.
Kejadian pada 1.15 tengah hari dipercayai berlaku ketika mangsa sedang melakukan kerja kimpalan pada tangki berkenaan bersama pemandu lori.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rantau, PBK I Mohd Syazwan Saidy berkata, berdasarkan maklumat awal, tangki itu tidak berisi sebarang muatan ketika berlaku letupan.
“Pasukan BBP Rantau dengan bantuan pasukan Hazmat dari BBP Seremban 2 bergegas ke lokasi kejadian yang mendapati seorang mangsa lelaki berusia 33 tahun dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Dia kemudian disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang berada di lokasi,” katanya, hari ini.
Jelasnya, seorang lagi lelaki yang juga pembantu bengkel hanya mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), di sini untuk menerima rawatan.
“Menerusi maklumat kami terima, kedua-dua mangsa sedang melakukan kimpalan ‘valve’ di atas tangki lori. Tangki berkenaan sudah tiba sejak petang semalam tidak mempunyai muatan.
“Kedua-dua mangsa dipercayai berada di atas tangki berkenaan sebelum ia tiba-tiba meletup dan kedua-dua mangsa melambung dengan ketinggian tiga meter hampir cecah bumbung bengkel,” katanya.
Menurutnya tindakan pasukan BBP Rantau membuat pemantauan sekiranya berlaku sebarang risiko dan membantu pasukan polis, manakala pasukan Hazmat membuat ‘detection’ kawasan bengkel serta tempat berlakunya letupan yang kemudian didapati bacaan normal.
Katanya, udara di persekitaran kawasan dalam keadaan baik dan selamat, sementara mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan punca kejadian masih disiasat.
© New Straits Times Press (M) Bhd