London: Lelaki berusia 40-an maut selepas terjatuh di konsert Oasis yang berlangsung di stadium Wembley London, kata polis semalam.
Liam dan Noel Gallagher, yang membawa kembali kumpulan ikonik Britpop untuk jelajah dunia tahun ini, memberitahu BBC bahawa mereka terkejut dan sedih dengan kematian peminat di konsert petang Sabtu itu.
Menurut jurucakap Polis Metropolitan London, pasukannya dan pegawai perubatan dihubungi untuk ke tempat kejadian selepas 10.00 malam (2100 GMT) berikutan “laporan bahawa seseorang cedera” di stadium yang penuh sesak.
“Seorang lelaki berumur dalam lingkungan 40-an ditemui dengan kecederaan yang konsisten dengan terjatuh. Malangnya dia disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” kata jurucakap itu yang menggesa mana-mana saksi supaya tampil ke hadapan.
Jurucakap Wembley berkata, “doa kami tujukan buat keluarganya”.
Tambahnya, konsert pada malam Ahad tetap diteruskan seperti dirancang.
Konsert Ahad menjadi persembahan terakhir Oasis di London dalam siri jelajah dunianya yang keseluruhan membabitkan 41 konsert.
Jelajah itu sempena penyatuan semula ahli kumpulan selepas 16 tahun berpisah disebabkan hubungan adik-beradik Gallagher yang tegang.
Sejumlah 900,000 tiket terjual untuk siri jelajah itu, dengan selepas ini kumpulan itu akan ke Edinburgh sebelum memulakan jelajah antarabangsanya ke Amerika Syarikat, Jepun, Australia dan Brazil.
© New Straits Times Press (M) Bhd