am@hmetro.com.my
Jitra: Lelaki berusia 37 tahun ditemukan meninggal dunia dalam kebakaran stor penyimpanan khemah di Kampung Pelubang, di sini, hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Penolong Kanan Penguasa Bomba Noor Azhar Tajudin berkata, pihaknya menerima panggilan kebakaran itu pada 5.50 petang.
Katanya, sepasukan 10 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) I Mohamad Razif Mohamad Dzahir tiba di lokasi tidak lama kemudian.
“Setiba pasukan, didapati stor itu sudah 70 peratus musnah dan komander operasi memaklumkan terdapat lelaki terbabit meninggal dunia.
“Berdasarkan maklumat awal daripada orang awam, mangsa dipercayai terperangkap dan terbakar di dalam stor itu.
“Mangsa dipercayai berjaya keluar dalam keadaan melecur, namun rebah dan meninggal dunia. Kematiannya disahkan oleh petugas kesihatan di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Noor Azhar berkata, api berjaya dikawal pada 6.13 petang, sebelum kerja overhaul dilaksana bagi memastikan tiada punca api.
Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
© New Straits Times Press (M) Bhd




