am@hmetro.com.my
Rompin: Pemandu terbunuh manakala tunangnya parah selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan lori di Kilometer 147 Jalan Kuantan-Seremban, dekat Simpang Melati, di Muadzam Shah, dekat sini, hari ini.
Mangsa terbunuh dikenali Muhamad Nasri Sulaiman, 32, berasal dari Felda Jenderak Utara, Temerloh.
Ketua Polis Daerah Rompin, Superintendan Sharif Shai Sharif Mandoi, berkata siasatan mendapati nahas berlaku kira-kira jam 12.25 tengah hari, ketika Proton Wira dipandu mangsa membelok ke kiri di simpang jalan tanpa memberi laluan kepada kenderaan di laluan utama.
“Akibatnya kereta dirempuh sebuah lori dalam perjalanan dari arah Bahau, Negeri Sembilan ke Muadzam Shah.
“Siasatan mendapati nahas disebabkan tindakan pemandu kereta terbabit membelok di simpang jalan secara melulu.
“Akibat kemalangan itu pemandu kereta maut di tempat kejadian dan tunangnya berusia 33 tahun cedera parah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sharif Shai berkata, wanita terbabit kini dirawat di Hospital Muadzam Shah dan keadaannya dilaporkan kritikal.
Bagaimanapun katanya, pemandu lori berusia 53 tahun terbabit dalam kemalangan itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Muadzam Shah untuk bedah Siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai dan menyebabkan kemalangan maut.
© New Straits Times Press (M) Bhd