am@hmetro.com.my
Marang: Seorang lelaki melecur akibat terkena letupan di rumahnya di Kampung Sungai Kerak, di sini, kira-kira 6.15 petang, hari ini.
Akibat kejadian itu, mangsa, Ahmad Noor Izwan Mohd Radzi, 37, dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, untuk mendapatkan rawatan.
Difahamkan, kejadian berlaku sebaik mangsa yang bekerja sebagai posmen pulang ke rumah selepas habis bekerja kira-kira 6 petang.
Isteri, mangsa, Norlimasaida Jusoh, 38, berkata, dia mengetahui kejadian menimpa suaminya selepas adik iparnya menghantar gambar keadaan suaminya yang terlantar dalam keadaan tubuhnya melecur menerusi Aplikasi WhatsApp selepas lima minit kejadian itu berlaku.
Ketika kejadian wanita itu dikatakan berada di tempat kerjanya di bandar Marang.
Letupan kuat itu turut mengakibatkan berlaku kerosakan membabitkan struktur rumah antaranya siling dan nako.
Sehingga kini, polis belum dapat mengenal pasti punca letupan yang berlaku dan peratus tahap kecederaan mangsa.
© New Straits Times Press (M) Bhd




