am@hmetro.com.my
Kota Kinabalu: Seorang lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, atas pertuduhan membunuh bekas teman wanitanya di sebuah pusat beli-belah, tiga tahun lalu.
Tertuduh, Chung King Fung @ Haider Daniel Chung Abdullah, 33, mengaku membunuh Nurul Ain Silien, 21, antara jam 12 tengah hari hingga 12.20 tengah hari pada 29 Mei 2023.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Alexander Siew How Wai menangguhkan hukuman kepada Jumaat ini.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh dan mangsa mengenali antara satu sama lain sejak pertengahan 2022.
Pada 29 Mei, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan pasangan itu berbual sebelum Chung tiba-tiba berdiri, mengeluarkan pisau yang disembunyikan di dalam stoking dan menyerang mangsa.
Selepas kejadian tikaman itu, ambulans dari Hospital Queen Elizabeth tiba kira-kira jam 12.45 tengah hari selepas tertuduh membuat panggilan kecemasan dan mengaku menikam mangsa.
Mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 1 tengah hari.
Hasil bedah siasat di Hospital Queen Elizabeth mendapati terdapat lapan kesan tikaman dan punca kematian disahkan akibat pelbagai luka tikaman.
Peguam bela, Edward Paul berkata, Chung menyesali perbuatannya dan mengaku bersalah.
Katanya, tertuduh dan mangsa sebelum ini mempunyai hubungan romantik dan Chung memeluk Islam pada 25 Disember 2022 sebagai tanda komitmen kepada hubungan itu.
Mereka juga dikatakan menghadiri kursus praperkahwinan dan merancang untuk berkahwin pada Mei 2023 sebelum hubungan itu berakhir.
Edward berhujah bahawa tertuduh hilang kawalan emosi ketika kejadian dan menyifatkannya sebagai jenayah didorong emosi.
Menurutnya, Chung terus menghubungi polis sejurus selepas kejadian untuk membuat pengakuan.
Katanya, keputusan untuk mengaku bersalah menunjukkan tertuduh sangat menyesal dan masih boleh dipulihkan, sekali gus memohon mahkamah mengenakan hukuman minimum dan bukannya hukuman mati.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Dacia Jane Romanus memohon hukuman maksimum dan membantah keras penggunaan istilah jenayah didorong emosi.
Katanya, jenayah yang dilakukan atas dasar emosi tidak kurang kejamnya, malah lebih memusnahkan kerana membabitkan pilihan sengaja untuk mengubah perasaan peribadi kepada keganasan yang membawa maut.
Pendakwaan turut dikendalikan TPR Arfa Anchal Khan dan Kareena Kaur Gill Karamjit Singh, manakala peguam Jakariya Ab Jalil bertindak sebagai peguam pemerhati bagi pihak keluarga mangsa.
© New Straits Times Press (M) Bhd




