razis@mediaprima.com.my
Selayang: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini terhadap tuduhan menyebabkan kematian terhadap abangnya, Disember tahun lalu.
Tertuduh, Kubendran Maniam, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Nor Azlin Othman.
“Saya mengaku tidak bersalah,” katanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurilya Ellyna Nor Azmal manakala tertuduh diwakili peguam Kisho Kumar.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyebabkan kematian yang tidak terjumlah kepada membunuh ke atas Kagendran Maniam, 36, dengan niat menyebabkan kecederaan tubuh yang mungkin menyebabkan kematian.
Kesalahan didakwa dilakukan di Jalan 40c, Selayang Baru, Batu Caves, Selangor pada jam 3.40 pagi, 2 Disember 2025.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai 30 tahun dan hendaklah juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Nurilya tidak menawarkan sebarang jaminan berikutan ia adalah kesalahan yang tidak boleh dijamin.
“Pihak pendakwaan kekal dengan pendirian tidak mencadangkan sebarang jumlah jaminan kerana tiada alasan keadaan istimewa yang membolehkan tertuduh diikat jamin. Tambah pula, ini adalah kes berat,” katanya.
Bagaimanapun, Kisho memohon jaminan dibenarkan dengan mengambil kira anak guamnya adalah penanggung tunggal keluarga yang perlu menyara isteri, tiga anak dan ibu bapanya.
“Sekiranya jaminan dibenarkan, isterinya bersedia menjadi penjamin dan kami menyerahkan kepada mahkamah untuk menetapkan sebarang jumlah jaminan,” katanya.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan dua penjamin berserta syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran dan tidak mengganggu saksi sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 4 Mei depan untuk sebutan semula kes.
Harian Metro sebelum ini melaporkan, pergaduhan adik-beradik bertukar tragedi apabila seorang lelaki maut dipercayai dibunuh adik kandungnya.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir dilaporkan berkata, pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak menerima laporan dibuat seorang wanita berusia 36 tahun memaklumkan suaminya bergaduh dengan adik lelaki pada jam 12.22 tengah hari.
Menurutnya, mangsa yang diserang di kediamannya di Selayang Baru, Batu Caves di sini, mengalami kecederaan serius sebelum dikejarkan ke hospital.
Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 5.32 petang hari sama.
© New Straits Times Press (M) Bhd




