Lelaki mengaku tidak salah cederakan anggota polis dengan kayu golf

Lelaki mengaku tidak salah cederakan anggota polis dengan kayu golf

am@hmetro.com.my

Butterworth: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas pertuduhan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap anggota polis berpangkat lans koperal dan orang awam dengan kayu golf.

Tertuduh, Zul Mazuwan Zulhilman Suresh Kumar, 30, memohon kesnya dibicarakan ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua lelaki berusia 26 dan 38 tahun dengan sebatang kayu golf.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Flat Taman Bagan, Seberang Perai Utara, di sini, kira-kira jam 2, 31 Januari lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lim Zhan Yi manakala tertuduh diwakili peguam, Y Yogeswaran.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan syarat tambahan supaya tertuduh tidak mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Kes akan disebut semula pada 27 Mac depan untuk serahan dokumen.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top