am@hmetro.com.my
Sungai Petani: “Kami tak pernah nampak lelaki itu walaupun tinggal berjiran dan hanya mengetahui dia mempunyai masalah mental ketika dia mengamuk semalam,” kata Mohd Suyuti Abdullah, 50.
Dua video berkaitan kejadian itu masing-masing berdurasi tiga minit 28 saat dan 30 saat itu ditular di media sosial, hari ini.
Mohd Suyuti adalah penduduk Taman Seri Astana, di sini, yang tinggal berhampiran rumah seorang lelaki yang mengamuk menggunakan dua bilah parang sehingga menyebabkan beberapa anggota polis cedera akibat ditetak.
Katanya, lelaki berusia 30-an itu dipercayai mengamuk bermula pada jam 3 petang semalam menyebabkan bapa lelaki berkenaan membuat laporan di balai polis berhampiran.
Difahamkan, lelaki itu pernah bertugas sebagai guru agama sebelum ini dan mempunyai masalah mental selepas berhenti kerja sewaktu pandemik Covid-19.
“Kejadian ini amat mengejutkan kami kerana kami penduduk di sini tidak pernah tahu lelaki itu mengalami masalah mental sejak dia berpindah ke sini tahun lalu.
“Dia tinggal bersama ibu bapanya di rumah itu tetapi jarang keluar malah lebih banyak memencilkan diri dalam rumah.
“Kalau saya tahu lebih awal dia ada masalah mental, mungkin kami jiran di sini ambil langkah berjaga-jaga kerana anak-anak saya sering bermain di hadapan rumahnya kerana kawasan itu lapang kerana saya dan isteri bekerja di Pulau Pinang dan cuma anak-anak saya ada di rumah,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.
Mohd Suyuti berkata, kejadian berlaku jam 3 petang itu ketika dia sedang berehat di luar rumahnya sebelum terdengar orang bergaduh di luar rumah.
Katanya, ketika itu anggota polis berpakaian cuba menenangkan lelaki itu yang memegang parang sebelum seorang anggota dicederakan manakala seorang lagi sempat melarikan diri.
“Tidak lama kemudian datang ramai lagi anggota polis ke kawasan itu termasuk pasukan bomba dan kejadian ini berlarutan sehingga ke malam.
“Saya terdengar beberapa das tembakan dilepaskan dan selepas itu nampak ambulans membawa mangsa yang cedera ke hospital,” katanya.
Menurutnya, berdasarkan makluman ahli keluarga lelaki itu, dia dipercayai sudah lama tidak mengambil ubat walaupun mereka datang memujuknya.
Dalam pada itu, jiran sebelah rumah lelaki itu, Mohd Saqif Zamri, 26, berkata, dia pernah ditengking lelaki berkenaan ketika menghantar buah cempedak di rumahnya pada sekitar Jun tahun lalu.
Katanya disebabkan hidup berjiran, dia pergi ke rumah lelaki itu dan membuka pintu selepas memberi salam untuk menghantar buah dari dusun miliknya itu.
“Dia marah saya siapa suruh masuk sambil mukanya dia tidak puas hati dan ketika itu bapanya memberi isyarat mata memberitahu saya anaknya tidak sihat tapi saya tak tahu dia ada masalah mental.
“Cuma malam tadi saya berada di rumah dan terdengar bunyi bising dan mendapati polis cuba menahan lelaki berkenaan.
“Namun ketika itu saya terdengar anggota polis menjerit ‘ada anggota kita cedera’ dan kawasan itu ditutup sepenuhnya dengan sawar-sawar,” katanya.
Difahamkan, pihak bomba turut dipanggil untuk membantu memujuk lelaki berkenaan selain menyembur air untuk menenangkan lelaki terbabit dan operasi tamat hampir jam 11 malam tadi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




