Lelaki meninggal dunia selepas sembelih lembu korban

Lelaki meninggal dunia selepas sembelih lembu korban

am@hmetro.com.my

Manjung: Seorang lelaki meninggal dunia selepas rebah ketika menyertai gotong-royong penyembelihan lembu korban sempena Aidiladha di Kampung Sungai Rumput, Kampung Sitiawan di sini, semalam.

Radzuan Nanyan, 50, dikatakan rebah di kawasan padang kampung berkenaan yang menjadi lokasi ibadah korban dalam kejadian sekitar jam 12.30 tengah hari itu.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abdul Rahman berkata, lelaki itu mulanya dilaporkan pengsan sejurus selesai penyembelihan lembu ketiga sebelum dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Seri Manjung.

“Dia pengsan di tempat kejadian selepas gotong-royong penyembelihan lembu ketiga itu sebelum disahkan meninggal dunia di hospital,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, bedah siasat yang dijalankan mengesahkan punca kematian disebabkan serangan jantung, dengan kes diklasfikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Difahamkan, lelaki itu terbabit secara aktif dalam gotong-royong ibadah korban yang membabitkan beberapa lembu di kawasan kariah itu.

Dalam rakaman video tular, penduduk kampung dilihat memberikan kerjasama penuh bagi membantu urusan membawa lelaki itu ke hospital menaiki ambulans sebaik insiden itu berlaku.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top