Lelaki menyorok atas siling elak dicekup khalwat isteri orang

Lelaki menyorok atas siling elak dicekup khalwat isteri orang

am@hmetro.com.my

Kluang: Lelaki berstatus suami orang sanggup memanjat siling dalam keadaan panas bagi menyembunyikan diri bagi mengelak dicekup selepas disyaki berkhalwat di sebuah rumah di daerah ini, malam tadi.

Bagaimanapun, tindakan lelaki berusia 30-an yang juga bapa kepada dua anak berjaya dihidu anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) selepas menemui tangga serta siling dalam keadaan terbuka kira-kira jam 11 malam.

Dalam operasi itu, anggota penguat kuasa JAINJ membuat pemeriksaan di rumah wanita berusia 30-an susulan aduan berhubung perbuatan pasangan terbabit sejak kebelakangan ini.

Menurut JAINJ, pihaknya bersama anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang mengetuk pintu hampir 45 minit, namun penghuni rumah enggan memberi kerjasama.

Katanya, sebaik pintu dibuka, seorang wanita keluar memberitahu tiada orang lain dalam rumah kerana dia hanya tinggal berseorangan.

“Anggota penguat kuasa menggeledah kesemua bilik, ruang tamu, dapur dan tandas tetapi tiada individu lain ditemui, tetapi meneruskan usaha memeriksa rumah terbabit.

“Ketika itu, wanita terbabit dilihat gelisah seolah-olah ada sesuatu cuba disembunyikan. Bagaimanapun, penguat kuasa menemukan tangga serta syiling terbuka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, salah seorang anggota penguat kuasa memanjat siling sebelum menemui lelaki berpakaian kemeja T dan berseluar hitam sedang menyorok lalu memintanya segera turun.

“Hasil pemeriksaan mendapati lelaki itu mempunyai isteri dan dua anak, manakala wanita terbabit masih isteri orang serta memiliki tiga anak.

“Semasa tangkapan dibuat, suami dan anak-anak wanita itu tiada di rumah. Hasil soal siasat mendapati lelaki itu meletakkan motosikal di sebuah kedai makan kira-kira empat kilometer dari rumah pasangannya.

“Wanita itu kemudian datang menjemput lelaki itu dengan menaiki kereta sebelum membawa masuk ke dalam rumah dan dipercayai membuat perancangan untuk mengelak kegiatan mereka disedari,” katanya.

Katanya, pihaknya menahan pasangan itu untuk siasatan mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top