am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Lelaki warga Nepal yang ditahan selepas didakwa cuba menculik kanak-kanak lelaki berusia dua tahun di Kampung Bunga Raya, Rawang, kelmarin direman empat hari untuk siasatan.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, pihak mahkamah membenarkan suspek direman bermula semalam sehingga Sabtu ini.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati suspek memiliki pasport serta Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).
“Bagaimanapun, kita masih menunggu maklum balas daripada Jabatan Imigresen Malaysia berhubung status pasport dan PLKS milik suspek sama ada ia sah atau sebaliknya.
“Pihak polis sedang menjalankan siasatan lanjut termasuk motif sebenar kejadian ini,” katanya dalam kenyataan ringkas, malam tadi.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan iaitu penculikan.
Semalam, media melaporkan suspek menyamar sebagai tukang cuci dan cuba menculik mangsa, namun perbuatannya gagal apabila disedari penduduk lalu menahannya sebelum diserahkan kepada pihak polis.
Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira 12.40 tengah hari ketika kanak-kanak itu sedang bermain di ruang tamu rumah.
Ibu saudara mangsa berusia 30 tahun yang turut berada di situ dikatakan berjaya menarik mangsa daripada pelukan suspek sebelum lelaki itu melarikan diri.
© New Straits Times Press (M) Bhd



