am@hmetro.com.my
Gua Musang: Lelaki nyaris maut apabila kereta yang dipandunya terbakar selepas merempuh batu konkrit di Jalan Sungai Asap B, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam, mangsa berusia 25 tahun terselamat apabila berjaya keluar dari kenderaannya yang musnah 100 peratus.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati mangsa memandu kereta Honda Accord dari arah Kampung Limau Kasturi menghala ke Gua Musang.
Menurutnya, apabila sampai di lokasi, kenderaan yang dipandu mangsa hilang kawalan ketika mengambil selekoh.
“Kenderaan yang dipandu mangsa terlanggar batu konkrit di bahu kanan jalan menyebabkan berlaku percikan api di bahagian enjin lalu terbakar.
“Mangsa berjaya keluar daripada kenderaan dan mengalami sakit dada,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, punca kejadian dipercayai akibat permukaan jalan yang licin akibat hujan dan kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59).
© New Straits Times Press (M) Bhd